Wednesday, April 21, 2010

MASAALAH ADALAH PERENCAH..

"Kadang-kadang ALLAH hilangkan sekejap matahari kemudian dia datangkan pula guruh dan kilat. Puas kita mencari di mana matahari, rupa-rupanya ALLAH nak hadiahkan kita pelangi yang indah”

Kalaulah kita boleh selalu berfikir sebalik kepada sebalik, kita menjadi lebih kuat untuk mendepani apa juga cabaran dan dugaan. Masalahnya kita selalu melihat apa yang terlihat oleh kita, langsung tidak mahu menduga apa yang tersembunyi di sebaliknya.
Kalau dilihat semua kesusahan itu kesedihan, yang dapat ialah kesusahan dan kesedihan belaka. Andainya ingin dilihat kepayahan sebagai kemudahan yang mungkin tersembunyi di mana-mana hati kita akan lebih berbaik sangka.

Bukan semua yang menggembirakan itu baik untuk kita, ada kalanya menjadi masalah yang sangat menyusahkan. Dan bukan semua yang tidak kita sukai baik untuk kita, ada kalanya itulah punca berbahagianya kita.
Hidup perlu dilihat dari perspektif yang berbeza-beza. Bukan ALLAH tidak kasih apabila menurunkan ujian tetapi kita yang gagal melihat kebaikan yang terselindung.
Apabila cuaca dikatakan buruk, ia mungkin baik untuk kitaran, tumbuhan dan serangga. Hujan yang keterlaluan dan panjang, tidak semestinya tidak baik untuk manusia. Mungkin di situlah letaknya keseimbangan pada musim yang mendatang.
Kalau dilihat semua perkara buruk sebagai buruk, hidup tidak akan lebih indah daripada ketakutan-ketakutan kita terhadap kehidupan itu sendiri. Hidup tidak perlu ditakuti. Memang wajahnya pelbagai. Tetapi takut pada hidup selalunya akan memperhodoh pandangan dan pendirian.

Kadang-kadang hidup perlu dilalui dengan selamba. Anggap semua masalah sebagai perencah. Yang menggembirakan pula sebagai kebetulan agar yang pahit tidak terlalu dirisaukan.
Hakikatnya tiada manusia bebas daripada masalah. Sejak seseorang manusia itu dilahirkan ke bumi dia menghadapi masalah. Maka itu, dia menangis hingga ditenteramkan oleh sang ibu dalam pelukan erat yang memperlindung. Apabila dia membesar sebagai kanak-kanak dia sering jatuh dan bangun. Walaupun luka, sakit dan geram, dia berusaha lagi untuk berjalan. Akhirnya dia benar-benar boleh berdiri di atas kaki sendiri.
Apakah masalahnya telah selesai? Tidak. Tatkala dia telah pandai berjalan, di situlah bermulanya pelbagai lagi masalah dalam hidupnya. Dia mengorak langkah mahu membina kehidupan, tapi langkah-langkah yang sumbang menyebabkan dia ditimpa petaka. Sehinggalah nafasnya yang terakhir, dia menghadapi masalah untuk menyudahkannya.
Lalu, ‘kehidupan’ selepas itu juga tidak menentu. Jika baik amalannya semasa hidup di dunia, dia bakal menikmati kebaikan di alam sana, jika sebaliknya dia menderita sepanjang masa tanpa penghujung.

Sama ada nikmat atau tidak hidup di dunia, kesudahannya serupa. Yang nikmat jika tidak pandai mensyukuri bakal menjadi petaka di neraka; derita jika tahu menilainya menjadi ibadah lalu bertukar menjadi nikmat di syurga.

Tidak ada manusia yang dilimpahi nikmat sepanjang masa. Ada kalanya menderita juga. Tidak ada manusia yang menderita sepanjang masa. Ada kalanya bahagia juga. Yang membezakan adalah bagaimana seseorang itu melihat apa yang dikatakan derita dan apa yang dikatakan bahagia. Yang membezakan adalah persepsinya serta dari sudut apa dia melihatnya. Yang membezakan adalah pegangan apa yang dianutinya.

Fikir, renung dan lihat.....

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...